Thursday, December 13, 2012

SEJARAH PENUBUHAN

SEJARAH PENUBUHAN PERMATA UMP

Sekretariat Mahasiswa Anak Terengganu Universiti Malaysia Pahang (PERMATA UMP) ditubuhkan secara rasminya pada 30 Oktober 2012 di peringkat universiti. Namun demikian persatuan yang bernaung di bawah kerajaan Negeri Terengganu ini telah pun diluluskan di peringkat negeri oleh Yayasan Terengganu pada tahun 2011.

Tujuan utama PERMATA UMP diwujudkan adalah untuk memastikan kelompok anak-anak Negeri Terengganu yang belajar di UMP mempunyai platform dalam menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan negeri Terengganu serta kebajikan anak-anak Terengganu di UMP.

Idea asal penubuhan PERMATA UMP adalah menerusi Sekretariat PERMATA Induk di mana tiada wakil anak Terengganu di UMP pada ketika itu yang boleh menjadi penghubung antara UMP dan Yayasan Terengganu. Menerusi beberapa perbincangan dan proses kertas kerja dengan Yayasan Terengganu, idea tersebut telah diperhalusi dengan beberapa inisiatif lalu tercetuslah sebuah persatuan untuk anak-anak Terengganu di UMP.

Selain menjaga urusan kebajikan anak-anak Terengganu di UMP, PERMATA UMP juga bertindak sebagai medium penghubung antara Yayasan Terengganu dalam menyampaikan sumber-sumber informasi berkaitan dengan negeri Terengganu terus kepada ahli PERMATA UMP.

Antara program pertama melibatkan hubungan anak Terengganu di UMP dengan kerajaan negeri adalah perkhidmatan bas balik raya Aidilfitri di mana kerjaan negeri menyediakan dua buah bas untuk setiap PERMATA universiti untuk anak-anak Terengganu pulang ke kampung halaman di Terengganu. Kemudian aktivti seterusnya yang bergerak secara tidak rasmi adalah penyertaan Karnival Sukan Siswa Siswi PERMATA Induk yang dijalankan selama dua sem berturut-turut.

Kemudian apabila PERMATA UMP telah mula dikenali, usaha menyatukan anak-anak Terengganu melalui laman sosial memberi respon positif dari semua anak-anak Terengganu di UMP. Bermula dari beberapa orang ahli dari proses penubuhan hingga kini, ahli PERMATA UMP yang telah berjaya dikumpul adalah hampir 800 orang merangkumi semua pelajar tahun satu hingga tahun akhir. Ini adalah pencapaian terbaik dalam menyatupadukan semua yang ada di bawah satu bumbung, melalui perkongsian pendapat dan pengalaman di laman sosial. Berkongsepkan sebuah keluarga, PERMATA UMP menekankan konsep perkongsian di mana semua ahli berhak menyuarakan pendapat dan juga idea. Ahli juga dialu-alukan memberi respon yang baik mahupun buruk di dalam usaha untuk memantapkan lagi persatuan untuk terus gah dan maju.

Setelah ahli PERMATA UMP semakin berkembang, proses permohonan PERMATA UMP agar diluluskan secara rasmi diteruskan hampir kira-kira mengambil masa satu tahun dan akhirnya tertubuhlah PERMATA UMP pada hari ini. Pelbagai proses yang tidak mudah untuk dilalui dalam mencapai apa yang kita ada hari ini termasuklah proses kertas kerja, proses pembukaan akaun bank, urusan surat-menyurat dan lain-lain. Semasa PERMATA UMP masih di dalam pertimbangan JHEPA, kita juga telah melangsungkan jualan baju rasmi PERMATA UMP dan menetapkan jenama PERMATA UMP pada baju rasmi tersebut. Sambutan belian yang menggalakkan dari ahli demi menyokong persatuan ini sangat memberangsangkan dan kami berharap akan berterusan dari semasa ke semasa. Adalah menjadi kebanggaan apabila ahli-ahli memakai baju rasmi PERMATA UMP di sekitar kampus sekaligus menunjukkan gahnya jenama PERMATA UMP di kalangan ahli.

Kemudian aktiviti diteruskan dengan program BBQ Pekan dan BBQ Gambang di mana program lebih berkonsep santai seperti program hari keluarga yang ringkas. Walaupun ringkas, ahli dapat beramah mesra dan berkenalan di antara satu sama lain di mana program telah mencapai objektif dalam menyatupadukan ahli.

Program diteruskan dengan Majlis Makan Malam PERMATA UMP Kali-I, di mana boleh dikatakan program rasmi pertama PERMATA UMP sepanjang persatuan ini diwujudkan. Majlis dirasmikan oleh YB Haji Khazan Che Mat (Pengerusi Ahli Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu). Manakala majlis turut mengundang Penasihat dan Penaung PERMATA Induk, Haji Mohd Razali Mahmud, Timbalan Pengarah Yayasan Terengganu dan juga beberapa dif-dif jemputan dari UMP dan juga Yayasan Terengganu. Majlis diadakan sempena merasmikan PERMATA UMP bagi kedua-dua peringkat Yayasan Terengganu dan juga Universiti Malaysia Pahang. Menepati objektif majlis, PERMATA UMP berasa lebih bersemangat untuk terus maju bertapak di UMP.

Setelah persatuan lulus di peringkat UMP, kini barisan kepimpinan PERMATA UMP yang pertama terdiri daripada 20 orang exco yang berdedikasi dan seorang penasihat yang sentiasa memberikan idea dan sokongan padu akan memberikan lebih impak di masa akan datang kepada persatuan. Pelbagai program telah dirangka oleh Majlis Tertinggi dan Exco dalam menepati sasaran persatuan berdaftar yang telah ditetapkan oleh UMP. Setiap program yang berjalan akan memberi merit kepada setiap ahli yang menyertai di mana mata merit di UMP sangat penting terutamanya sebagai laluan untuk mendapatkan tempat di Kolej Kediaman UMP. Selain dapat mengumpul merit dan mencapai objektif program, ahli dapat mempelajari konsep kepimpinan di dalam setiap program yang dijalankan. Oleh itu PERMATA UMP mengalu-alukan lebih penyertaan ahli, selain menyokong PERMATA UMP, banyak lagi faedah yang boleh didapati dari program-program yang dijalankan.

Maka ahli-ahli yang ada pada hari ini hinggalah ke generasi akan datang haruslah menghargai dan terus menyokong usaha-usaha yang dijalankan oleh PERMATA UMP agar persatuan ini kekal di UMP dan Yayasan Terengganu hingga selama-lamanya dari generasi ke generasi. Majulah PERMATA UMP sebagai sebuah keluarga yang harmoni dan juga sebagai persatuan yang mendatangkan manfaat kepada semua. 

Teruskan menyokong!

0 comments:

Post a Comment